Friday, April 24, 2009

ISU 2 : TENTANG PENGARUH IKLAN TERHADAP MASYARAKAT

Iklan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden. Kerap kali kita mendengar komen mengenai pengaruh iklan dalam masyarakat kita.Pada pandangan anda, apakah pengaruh-pengaruh positif dan negatif yang dibawa oleh iklan terhadap masyarakat.

Sememangnya iklan sudah menjadi sebahagian lumrah kehidupan manusia sejagat pada era globalisasi ini. Iklan jelas terpampang di mana-mana seperti akhbar, poster, papan iklan gergasi, dan radio. Situasi ini seolah-olah membuktikan betapa kuatnya pengaruh iklan dalam kehidupan kita. Jadi, iklan memang membawa pengaruh-pengaruh positif dan negatif terhadap kehidupan insan di dunia ini.Pengaruh positif iklan ialah iklan menyebabkan pengguna mempunyai pilihan untuk membuat pembeliannya. Kewujudan iklan menyebabkan pengguna mengetahui betapa banyaknya produk yang sama tetapi berlainan jenama dihasilkan pada zaman ini.
Pengguna akan menggunakan semua maklumat yang ada di dalam iklan untuk membuat pilihan terbaik mereka. Iklan memastikan pengguna membeli produk yang terbaik mengikut keperluan mereka.Selain itu, iklan menyebabkan wujudnya persaingan yang sihat antara pengeluar sesuatu produk itu. Kalau kita kaji, pengeluar sesuatu produk itu akan cuba menghasilkan iklan yang terbaik mengikut kemampuan mereka untuk menarik minat pembeli. Keadaan ini menyebabkan semua pihak cuba menonjolkan
kelebihan produk mereka berbanding produk pesaing. Jelaslah, iklan menyebabkan pengeluar memastikan produk mereka menepati mutu seperti yang tersiar di dalam iklan mereka itu.Namun begitu, iklan turut memiliki wajah negatifnya. Iklan sering mempergunakan wanita terutama wanita seksi untuk melariskan jualan produk mereka. Malah, ada produk yang tidak mempunyai kaitan dengan wanita tetapi menggunakan wajah wanita seksi untuk iklan tersebut. Penggunaan model lelaki yang tampan dan sasa turut diekploitasikan oleh iklan. Keadaan ini seolah-olah memberi makna palsu seperti penggunaan produk ini akan menghasilkan wajah sebegitu atau penggunaan produk ini menyebabkan wanita sebegini akan tertarik kepada seseorang. Bayangkan pengaruhnya kepada remaja kita?Tambahan pula, kewujudan iklan menyebabkan harga barangan akan meningkat. Kos untuk menghasilkan sesuatu iklan amat tinggi kerana penggunaan model, teknologi dan krew penerbitan yang berpengalaman. Malah, iklan yang disiarkan di media massa terpaksa membayar kos masa penyiaran yang terlalu mahal. Keadaan ini menyebabkan pengeluar akan meninggikan harga produk mereka untuk memastikan iklan dapat dihasilkan.Malahan, iklan turut menyebabkan pengguna memberi barangan yang tidak mereka perlukan. Pembelian mereka semata-mata atas dasar melihat iklan yang menarik. Penayangan iklan telah menyebabkan mereka tertarik dan membeli barangan itu walaupun barangan itu tidak mereka perlukan untuk satu tempoh yang lama. Sikap ini menjurus ke arah pembaziran dan pembelian yang boleh menyebabkan pengguna berhutang atau mengalami masalah kewangan.Kesimpulannya, iklan mempunyai dua peranan. Satu untuk memberitahu dan satu lagi untuk memusnahkan. Mungkin pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat penilaian rasional selepas melihat sesuatu iklan. Pengguna tidak harus terburu-buru membeli selepas melihat iklan. Atau mungkin iklan harus diharamkan.

Wednesday, April 22, 2009

ISU 1 : GRADUAN MENGANGGUR??



* Dewasa ini semakin hangat diperkatakan mengenai kualiti pasaran graduan hingga menyebabkan lambakan graduan yang menganggur.




Kemahiran siswazah tidak tepati kehendak pasaran

SISWAZAH kita tidak laku? Kegagalan siswazah mendapatkan pekerjaan walaupun memiliki segulung ijazah menimbulkan tanda tanya adakah mutu siswazah amat rendah sehingga tidak mampu menarik minat pihak syarikat? Atau, adakah bidang yang dipelajari di universiti tidak memenuhi syarat yang dikehendaki pasaran pekerjaan kerana ada pendapat mengatakan kesilapan memilih kursus di pusat pengajian tinggi adalah di antara punca pengangguran siswazah.
Persoalan ini mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan lepasan universiti atau yang masih menuntut di institut pengajian tinggi. Tetapi, itulah hakikat yang terpaksa ditelan walaupun pahit terutama jika siswazah tidak memberi perhatian meningkatkan pengetahuan dan kelebihan diri.
Ia bukan saja membabitkan aspek menonjolkan diri dari segi kelayakan akademik, malah keyakinan diri, ketrampilan dan kemahiran berkomunikasi. Siapa yang perlu disalahkan jika graduan yang dilahirkan universiti mempunyai perasaan malu tidak bertempat, tiada keyakinan diri, tidak tahu bergaul dan tiada usaha memajukan diri?
Kita tidak boleh menyalahkan pihak majikan atau industri kerana sememangnya majikan perlu berhati-hati memilih pekerjaan yang benar-benar layak memandangkan kelulusan akademik belum tentu menjamin mutu kerja yang tinggi. Beberapa teori boleh dikaitkan dengan masalah mengapa siswazah gagal mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Pertama, graduan tidak membuat kajian mengenai kursus yang mempunyai nilai pasaran sebelum memilih jurusan yang ingin diambil apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian ting-gi. Ini kerana bidang yang menjadi popular tahun ini mungkin tidak menjanjikan sebarang jawatan apabila mereka menamatkan pengajian nanti, melainkan bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perakaunan yang sentiasa mempunyai nilai pasaran tinggi.
Teori kedua ialah graduan tidak mempunyai keupayaan meyakinkan majikan menyebabkan timbul pandangan bahawa mereka tidak mampu menjalankan tugas yang diberi. Selain keputusan cemerlang, graduan harus mempunyai kredibiliti kerja yang tinggi dan ini boleh ditimba melalui pembabitan dalam kegiatan kurikulum tambahan, berpersatuan serta aktif mengikuti program yang dianjurkan di pusat pengajian tinggi.
Ketiga ialah pasaran graduan Bumiputera adalah terhad berbanding bukan Bumiputera yang mempunyai monopoli dalam dunia perniagaan. Akibatnya, sama ada graduan Melayu diambil bekerja mengikut kuota kaum yang ditentukan syarikat yang kebanyakan dimiliki oleh bangsa bukan Melayu atau membuktikan nilai pasaran diri untuk berebut dengan graduan bukan Bumiputera. Memang tiada siswazah yang ingin menganggur, tetapi keadaan memaksa ia berlaku dan apa juga alasannya ia memperlihatkan sikap negatif mereka.Siswazah perlu menilai perkara yang sering diungkapkan pihak majikan iaitu tahap mutu siswazah yang tidak menepati kehendak pasaran pekerjaan menjadi punca kegagalan mereka. Perkara ini acap kali dibangkitkan dan ditekankan. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dr Abdul Latiff Ahmad, pernah mengingatkan siswazah menunjukkan tahap keyakinan diri untuk memasuki pasaran kerja.
Katanya, di antara kelemahan ketara di kalangan graduan adalah sifat malu tidak bertempat, kurang keyakinan berdepan persekitaran serta tidak mahir berkomunikasi mengikut kesesuaian sekeliling.
"Kelemahan graduan sama ada berkeyakinan atau tidak, boleh dikesan sejak sesi temu duga lagi, berdasarkan cara mereka bercakap, menjawab soalan dan gerak badan mereka.
"Kalau tiada kemampuan berkomunikasi, mereka tidak dapat membentuk satu budaya kerja dalam berpasukan. Pergi temu duga pun takut hendak bertentang mata dengan orang yang bertanya soalan," katanya.
Beliau berkata, masalah ini mungkin menjadi penyebab kepada masalah pengangguran bukan saja di kalangan siswazah dari institusi dalam, malah luar negara.
'Usah tunggu disuap, cipta peluang pekerjaan sendiri'
KELULUSAN tinggi semata-mata bukan jaminan untuk mendapatkan pekerjaan, jawatan serta gaji yang tinggi. Apa yang lebih penting, siswazah perlu menggunakan peluang yang diberikan untuk mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran.
Siswazah juga tidak sepatutnya terlalu memilih pekerjaan yang kononnya sesuai dengan tahap kelulusan mereka kerana ada juga pekerjaan di pasaran boleh dilakukan, biarpun tiada kaitan dengan bidang kursus yang diambil. Sikap siswazah lebih rela menganggur daripada melakukan kerja yang tidak diminati atau bergaji rendah jelas menunjukkan sikap tidak matang mereka.
Keangkuhan memiliki kelulusan tinggi menyebabkan mereka mengalami kehidupan lebih malang daripada rakan yang hanya memiliki kelulusan sekolah menengah. Kegagalan melakukan pengubahsuaian hanya akan menyebabkan mereka terus ketinggalan dan ditinggalkan oleh arus perubahan yang sedang berlaku khususnya dalam kehidupan serta dunia pekerjaan yang mencabar.
Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir yang melahirkan pandangan itu menggesa pelajar membuang tabiat menyalahkan keadaan dan kerajaan apabila gagal mendapatkan pekerjaan.
"Mereka tidak sepatutnya menanti disuap atau menunggu kerja datang kepada mereka, sebaliknya berusaha mencipta peluang pekerjaan sendiri.
"Setiap pekerjaan mempunyai prospek atau masa depan yang baik dengan syarat ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh walaupun terpaksa bermula daripada bawah.
"Nasihat saya agar graduan kita buang sifat ego dan malu untuk melakukan kerja dengan gaji rendah semata-mata hanya kerana mereka lepasan universiti.
"Tidak salah biarpun terpaksa jadi pengawal keselamatan, asalkan ada pekerjaan dan pada masa sama sentiasa mencari peluang pekerjaan lebih baik daripada duduk saja," katanya.
Mahadzir turut menggalakkan siswazah terutama siswazah Bumiputera menjadi lebih berani dan kreatif untuk meneroka bidang pekerjaan yang baru.
Katanya, mereka perlu bersedia mengambil risiko berdepan dengan cabaran apabila menceburi bidang pekerjaan yang tiada hubungan dengan kursus yang dipelajari di institut pengajian tinggi (IPT).
Mahadzir berkata, IPT bukan kilang untuk menghasilkan tenaga buruh tetapi berfungsi sebagai pusat ilmu yang melahirkan golongan siswazah berilmu, berkeyakinan dan mampu berdikari.
Beliau berkata, asas penubuhan IPT sebagai institusi ilmu yang terunggul harus dipertahankan dan kursus-kursus yang tidak mempunyai nilai komersial tidak sepatutnya diketepikan begitu saja. Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah memberikan penilaian dan pengiktirafan baru terhadap kursus berkenaan mengikut perkembangan zaman dan keperluan pasaran.
"Ini sudah dilakukan oleh IPT kerana dari masa ke semasa pihak universiti membuat penyemakan dari segi kesesuaian dan penggabungan kursus oleh jabatan akademik.
"Kebanyakan IPT mengakui hakikat kepentingan bahasa Inggeris dan sudah mengambil tindakan perlu memastikan siswazah menguasai bahasa itu," katanya.
Beliau berkata, pertambahan bilangan siswazah menganggur amat memalukan dan sedikit sebanyak mencacatkan pandangan terhadap sistem pendidikan negara. Apa pun katanya, setiap pihak terbabit termasuk siswazah dan majikan perlu sedar tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mengatasi masalah ini.
Bagi siswazah, tindakan bekerja sebaik tamat pengajian tanpa mengira jenis pekerjaan dianggap satu usaha permulaan untuk merintis kejayaan pada masa akan datang. Sementara majikan pula, walaupun tidak dihalang mengamalkan sikap terlalu memilih patut juga memberi peluang siswazah menunjukkan kesungguhan membuktikan kemampuan mereka. Dalam erti kata lain, majikan perlu menerima hakikat bahawa siswazah yang baru menamatkan pengajian mempunyai kekurangan tetapi boleh diperbaiki asalkan mereka diberi peluang.
"Contohnya, penguasaan bahasa Inggeris siswazah itu kurang meyakinkan majikan, apa kata ambil kerja dengan syarat iaitu dalam tempoh dua bulan perlu ada peningkatan.
"Maknanya, pekerja baru itu diberi tempoh percubaan. Jika bagus, majikan boleh kekalkan dan jika tiada peningkatan, kita pun tidak ralat majikan tolak," katanya.


Graduan harus miliki sikap penakluk

MASA untuk bergantung kepada kuota semata-mata sudah berlalu kerana konsep pemilihan sekarang adalah berdasarkan merit dan dalam sektor pekerjaan ia membabitkan cara graduan memasarkan diri mereka.
Siswazah mempunyai dua pilihan iaitu menyiapkan diri menghadapi cabaran atau terus ketinggalan dalam arus pembangunan. Sehubungan itu, graduan perlu bertanyakan kepada diri sendiri adakah mereka memiliki ciri penakluk untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa atau masih tergolong dalam kategori sedia ditakluk.Graduan penakluk adalah mereka yang sudah menyiapkan diri dengan ciri-ciri yang diperlukan oleh majikan, selain memiliki kelulusan akademik membanggakan. Dalam persaingan mendapatkan kerja, kelulusan akademik bukan lagi menjadi kriteria utama sebaliknya ia hanya sebahagian daripada pakej keseluruhan yang diperlukan termasuk kelebihan bahasa, keyakinan diri dan penampilan menarik.
Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Fadzil Che Din ketika memberi pandangan mengenai masalah yang dihadapi oleh siswazah dalam menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan berkata:
"Graduan jangan beranggapan segala-galanya tersedia untuk mereka. Ada kuota untuk belajar dan ada kuota untuk pekerjaan kerana zaman sekarang berbeza dengan zaman dulu.
"Mereka juga tidak sepatutnya mengejar jawatan tertentu kerana selain terhad, persaingan cukup hebat.
"Sebaliknya mereka perlu memanfaatkan ilmu diperoleh serta mencari peluang pekerjaan lain yang bersesuaian."
Dr Mohd Fadzil yang juga seorang kaunselor berkata, disebabkan cabaran dan persaingan mendapatkan pekerjaan, kematangan dalam memilih bidang kerjaya menjadi begitu penting. Katanya, jika dulu pelajar hanya menanti apa saja yang datang kepada mereka, kini keadaan berlainan di mana mereka perlu merancang apa yang bakal ditempuh.
Contohnya, katanya, perancangan mengenai kerjaya perlu diterapkan di peringkat sekolah rendah bukan menanti sehingga mendapat segulung ijazah baru hendak mencari jawatan sesuai.
"Pelajar kita sekarang main langgar saja. Tamat tingkatan lima barulah hendak cari universiti dan apabila sudah diterima, mulalah hendak fikir kursus apa hendak ambil.
"Selepas tamat pengajian, baru hendak cari kerja. Bagaimana mereka hendak tahu nilai pasaran dan ciri kerja yang ada. Apatah lagi untuk membuat persediaan sesuai dengan kehendak majikan," katanya.
Dr Mohd Fadzil berkata, Malaysia yang bakal menjadi negara maju memerlukan sistem pendidikan berasaskan kepada orientasi bukan semata-mata untuk lulus periksa.
Selain itu, katanya, pendidikan kerjaya hendaklah bermula dari sekolah rendah supaya pelajar tahu apakah yang diperlukan untuk membina sesebuah kerjaya. Faktor lain yang perlu diberi perhatian serius, katanya, ialah tanggungjawab ibu bapa merancang masa depan anak mereka.
Beliau berkata, perancangan bukan bermakna ibu bapa perlu mencorak kerjaya anak tetapi membuat persediaan lengkap termasuk menyediakan pelan insurans pendidikan untuk mereka. Katanya, melihat kepada amalan bangsa lain seperti Cina dan India, walaupun anak masih kecil tetapi kebajikan masa depan mereka sudah terjamin.
Ibu bapa kalangan bangsa Cina dan India katanya, menjadikan simpanan atau pelan insurans pendidikan sebagai satu kemestian sebagai persediaan pendidikan anak mereka. Malangnya, kesedaran itu masih rendah di kalangan ibu bapa Melayu dan disebabkan suka menunggu sehingga saat terakhir, selalu mereka kelam kabut apabila anak hendak melanjutkan pelajaran kerana tiada sumber kewangan sokongan.